Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Jumaat, 14 September 2012

Bila Imam Al-Bukhari Beramal atau Berhujjah Dengan Hadith Dhaif

Bila Imam Al-Bukhari Beramal atau Berhujjah Dengan Hadith Dhaif

Imam Al-Bukhari sangat teliti memilih hujah-hujahnya. Sedapat mungkin beliau berhujah hanya dengan hadis-hadis yang sahih, namun begitu beliau tidak menutup pintu untuk beramal dengan hadis daif jika terdapat aspek-aspek eksternal (قرائن خارجية) tertentu yang menyokongnya. Beliau menggunakan hadis-hadis dhaif seperti ini bukan hanya dalam fadail a’mal, bahkan dalam beberapa permasalahan hukum. Namun nisbah hadis-hadis seperti ini sangat sedikit dibandingkan hadis-hadis sahih yang beliau gunakan.

1. Al-Bukhari beramal dengan hadis daif apabila kandungan hadis itu disokong oleh pelbagai hadis-hadis lain yang serupa dengannya.

Contohnya ucapan Al-Bukhari dalam kitab Al-Zakat:

وَقَالَ طَاوُس : قَالَ مُعَاذ لِأَهْلِ الْيَمَنِ ائْتُونِى بِعَرْضٍ ثِيَابٍ خَمِيصٍ أَوْ لَبِيسٍ فِى الصَّدَقَةِ ، مَكَانَ الشَّعِيرِ وَالذُّرَةِ أَهْوَنُ عَلَيْكُمْ ، وَخَيْرٌ لأَصْحَابِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم بِالْمَدِينَةِ .

Dan berkata Tawus: Berkata Muadz kepada Ahli Yaman: “Berikan kepadaku pakaian yang lebar untuk zakat, sebagai ganti daripada gandum dan jagung, perkara itu lebih ringan untukmu dan lebih baik bagi sahabat-sahabat Nabi Saw di Madinah.”

Hadis ini beliau sebutkan untuk menyokong pendapat beliau berkenaan dengan kebolehan mengambil barang-barang lain selain emas dan perak sebagai zakat. Pendapat ini selari dengan mazhab Hanafi. Berkata Ibn Rusyaid: “Al-Bukhari sepakat dengan Hanafiah dalam masalah ini meski beliau seringkali berbeza pandangan dengan mereka. Dalil yang membawa beliau kepada sikap ini.”[5]

Jika kita kaji, sanad hadis ini sebenarnya munqati (terputus), Tawus bin Kisan tidak berjumpa dengan Muadz bin Jabal. Berkata Ibn Hajar:

هَذَا التَّعْلِيق صَحِيحُ الْإِسْنَادِ إِلَى طَاوُس ، لَكِنَّ طَاوُسًا لَمْ يَسْمَعْ مِنْ مُعَاذ فَهُوَ مُنْقَطِع ، فَلَا يُغْتَرُّ بِقَوْلِ مَنْ قَالَ ذَكَرَهُ الْبُخَارِيّ بِالتَّعْلِيقِ الْجَازِمِ فَهُوَ صَحِيحٌ عِنْدَهُ لِأَنَّ ذَلِكَ لَا يُفِيدُ إِلَّا الصِّحَّة إِلَى مَنْ عُلِّقَ عَنْهُ ، وَأَمَّا بَاقِي الْإِسْنَادِ فَلَا ، إِلَّا أَنَّ إِيرَادَهُ لَهُ فِي مَعْرِضِ الِاحْتِجَاجِ بِهِ يَقْتَضِي قُوَّتَهُ عِنْدَهُ ، وَكَأَنَّهُ عَضَّدَهُ عِنْدَهُ الْأَحَادِيثُ الَّتِي ذَكَرَهَا فِي الْبَابِ .

Ta’liq ini sahih sanadnya kepada Tawus, akan tetapi Tawus tidak mendengar daripada Muadz, jadi ia munqati. Maka janganlah tertipu dengan ucapan orang yang berkata bahawa Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat jazm bermakna hadis ini sahih di sisinya, sebab perkara ini hanya menunjukkan kesahihan hingga kepada orang yang dita’liq (yakni Tawus), adapun baki sanadnya tidak (sahih). Akan tetapi, beliau menyebutkan hadis ini untuk hujah menunjukkan kuatnya hadis ini di sisinya.Mungkin menurut beliau (kandungan) hadis ini disokong oleh hadis-hadis yang beliau sebutkan dalam bab ini.[6]

Sebelumnya, hadis ini juga dihukumkan munqati oleh Imam Al-Syafii, namun beliau menerima kandungannya karena beliau percaya Tawus benar-benar mengetahui perkara ini. Berkata Al-Syafii: “Tawus mengetahui perkara Muadz meskipun beliau tidak berjumpa dengannya karena beliau berjumpa ramai dengan murid-murid Muadz di Yaman setahuku.”[7]


2. Al-Bukhari Beramal dengan hadis dhaif apabila kandungan hadis tersebut bersesuaian dengan amal yang disepakati seluruh ulama.

Berkata Al-Bukhari:

وَيُذْكَر أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْل الْوَصِيَّة

Disebutkan bahawa Nabi Saw menetapkan bahawa hutang (mesti dibayar) sebelum wasiat.

Al-Bukhari menyebutkan hadis ini untuk menyokong pendapatnya bahawa membayar hutang orang yang meninggal dunia mesti didahulukan daripada melaksanakan wasiatnya. Meski hadis ini lemah sanadnya, namun beliau berhujah dengannya karena aspek lain yang meliputi hadis ini, iaitu para ulama bersepakat mengamalkan hadis ini.

Berkata Al-Hafiz Ibn Hajar:

هَذَا طَرَف مِنْ حَدِيث أَخْرَجَهُ أَحْمَد وَالتِّرْمِذِيّ وَغَيْرهمَا مِنْ طَرِيق الْحَارِث وَهُوَ الْأَعْوَر عَنْ عَلِيّ بْن أَبِي طَالِب قَالَ : ” قَضَى مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ الدَّيْن قَبْل الْوَصِيَّة ، وَأَنْتُمْ تَقْرَءُونَ الْوَصِيَّة قَبْل الدَّيْن ” لَفْظ أَحْمَد وَهُوَ إِسْنَاد ضَعِيف ، لَكِنْ قَالَ التِّرْمِذِيّ : إِنَّ الْعَمَل عَلَيْهِ عِنْد أَهْل الْعِلْم ، وَكَأَنَّ الْبُخَارِيّ اِعْتَمَدَ عَلَيْهِ لِاعْتِضَادِهِ بِالِاتِّفَاقِ عَلَى مُقْتَضَاهُ ، وَإِلَّا فَلَمْ تَجْرِ عَادَته أَنْ يُورِد الضَّعِيف فِي مَقَام الِاحْتِجَاج بِهِ ، وَقَدْ أَوْرَدَ فِي الْبَاب مَا يُعَضِّدهُ أَيْضًا

Ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Tirmidzi dan lain-lain, dari jalan Harith Al-A’war, dari Ali bin Abi Talib: “Muhammad Saw telah menetapkan bahawa hutang sebelum wasiat, namun kamu membacanya wasiat sebelum hutang.” Demikian lafaz Ahmad. Ia adalah sanad yang lemah, akan tetapi Al-Tirmidzi berkata bahawa amal berlaku atas hadis ini menurut para ahli ilmu.Seolah-olah Al-Bukhari berpegang dengan hadis ini karena sokongan kesepakatan (ulama) akan isinya. Jika tidak, bukan kebiasaan beliau menyebutkan hadis dhaif dengan tujuan berhujah. Beliau juga menyebutkan di dalam bab ini, perkara-perkara yang menyokongnya.[8]

Menarik ucapan Ibn Hajar bahawa bukan kebiasaan Al-Bukhari berhujah dengan hadis dhaif, namun beliau kadangkala melakukannya jika memenuhi syarat-syarat tertentu sebagaimana kesimpulan saya di atas. Ini juga menyokong kesimpulan bahawa Al-Bukhari tidak pernah melarang beramal dengan hadis dhaif, malah kadang melakukannya sebagaimana sikap jumhur fuqaha.

3. Al-Bukhari terkadang beramal dengan hadis dhaif apabila kandungannya menjelaskan atau menafsirkan kandungan hadis lain.

Misalnya, berkata Al-Bukhari:

وَيُذْكَر عَنْ أَبِي حَسَّان عَنْ اِبْن عَبَّاس أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَزُور الْبَيْت أَيَّام مِنًى

“Disebutkan daripada Abu Hassan dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw berziarah (maksudnya: melakukan tawaf ziarah/ifadah) pada hari-hari Mina.”

Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tujuan Al-Bukhari menyebutkan hadis ini adalah untuk menghimpun dua riwayat yang saling bertentangan, yakni riwayat Ibn Umar dan Jabir yang menceritakan bahawa Nabi Saw melakukan tawaf ifadah pada siang hari, dan riwayat Abu Zubeir dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw melakukan tawaf itu pada malam hari. Riwayat Abu Hassan ini menghimpun kedua hadis ini dan menyimpulkan bahawa Nabi Saw melakukan kedua-duanya (tawaf pada siang dan malam hari) sebab baginda tawaf berkali-kali selama mabit di Mina.

Berkata Ibn Hajar: “Maka yang dimaksudkan dalam hadis Jabir dan Ibn Umar adalah hari pertama. Dan hadis Ibn Abbas untuk hari-hari (Mina) yang lain.”[9] Beliau juga berkata: “Terdapat hadis mursal yang menyokong riwayat Abu Hassan ini. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dari Ibn Uyainah: telah memberitahuku Ibn Tawus dari bapanya: bahawa Nabi Saw bertawaf setiap malam.”[10]

Jadi, jelaslah bahawa Al-Bukhari berhujah dengan hadis ini dalam sebuah masalah hukum. Padahal, jika kita perhatikan sanad hadis ini, ianya cukup lemah. Guru-gurunya, seperti Ibn Al-Madini dan Ahmad bin Hanbal, mengingkari hadis ini karena tidak ada yang meriwayatkannya dari Qatadah melainkan Hisyam. Agaknya, pandangan Al-Bukhari tentang hadis ini pun tidak jauh beza dengan kedua gurunya.

Berkata Ibn Hajar:[11]
وإنَّما مَرَّضَه البُخاريُّ لِشِدَّةِ غَرابَتِهِ
Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat tamrid karena sangat munkarnya.

Pendirian Imam Al-Bukhari ini samasekali tidak merendahkan darjat beliau sebagai ahli hadis yang paling unggul, malah menunjukkan ketinggian darjat beliau dalam hadis dan fiqh sekaligus. Sebab sikap yang beliau tunjukkan ini tidak lain adalah pendapat majoriti ulama dari kalangan ahli hadis dan ahli fiqh dari kalangan ulama tabiin, juga guru-guru Al-Bukhari, rekan-rekannya, dan murid-muridnya, dan sebahagian besar ulama pada hari ini.

Kenyataan ini sekaligus menyadarkan kita untuk selalu melihat para ulama secara objektif dan bukan melalui mata subjektifiti yang hanya menginginkan mereka berperilaku selari dengan pemahaman dan kemahuan kita. Semoga Allah memberikan kebijaksanaan kepada kita semua dalam melihat kebenaran. 

Wallahu a’lam bissawab.

[1] Pendapat sedemikian pernah disebutkan oleh Syeikh Al-Qasimi dalam “Qawaíd Al-Tahdith” hal. 113. Beliau berkata: “Yang zahir, mazhab Al-Bukhari dan Muslim seperti itu (yakni tidak beramal dengan dhaif secara mutlak. Menunjukkan perkara itu adalah syarat Al-Bukhari dalam Sahih-nya …”
[2] Muqaddimah Fath Al-Bari hal.17.
[3] Sila kaji perbahasan panjang lebar tentang perkara ini yang disebutkan Ibn Hajar dalam Muqaddimah Fath Al-Bari, hal.24 dan seterusnya.
[4] Kitab beliau bertajuk Taghliq Al-Ta’liq membuktikan perkara itu. Sejauh pengetahuan saya tidak ada kitab yang membahas hadis-hadis muallaq Sahih Al-Bukhari selengkap kitab ini.
[5] Fath Al-Bari 3/392.
[6] Ibid 3/393.
[7] Al-Um 2/12.
[8] Fath Al-Bari 5/462.
[9] Fath Al-Bari 3/716.
[10] Ibid. 3/717.
[11] Taghliq Al-Ta’liq



sumber : pondokhabib.wordpress

Sabtu, 23 Jun 2012

Hadis Mengisahkan Taubat Pembunuh 100 Jiwa Manusia



"Dari Abu Sa`id Sa`d bin Malik bin Sinan al-Khudri radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda :

“Pada zaman dahulu ada seseorang yang telah membunuh 99 orang. Kemudian dia mencari-cari orang yang paling `alim di negeri itu maka dia pun ditunjukkan kepada seorang pendeta. Dia pun lantas datang kepada si pendeta dan menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang, maka adakah masih boleh diterima taubat. Lalu pendeta itu mengatakan bahawa taubatnya tidak akan diterima. Lantas orang itu membunuh si pendeta tadi maka genaplah sudah orang yang dibunuhnya sebanyak 100 orang.

Dia mencari-cari lagi orang yang paling `alim di negeri itu maka dia ditunjukkan kepada seseorang yang sangat `alim. Kemudian dia menceritakan bahawa dia membunuh 100 orang, maka adakah masih boleh diterima taubatnya. Orang yang sangat `alim itu menjawab, “Ya, masih boleh. Siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah sana itu sama menyembah kepada ALLAH Ta`ala, maka sembahlah ALLAH bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi kekampung halamanmu kerana perkampunganmu adalah daerah hitam.”

Maka pergilah orang itu. Setelah menempuh jarak kira-kira setengah perjalanan maka matilah dia. Kemudian bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat berkata, “Dia telah berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada ALLAH Ta`ala.” Malaikat Azab pula berkata, “Sesungguhnya dia belum berbuat kebaikan sedikit pun.”

Lantas datanglah seorang Malaikat dalam bentuk manusia, maka kedua-dua Malaikat itu menjadikannya sebagai hakim. Maka berkatalah Malaikat yang dalam bentuk manusia itu, “Ukurlah olehmu dua daerah itu. Maka kepada daerah yang lebih dekat itulah ketentuan nasibnya.”

Mereka mengukurnya kemudian mereka mendapati daerah yang dituju itulah yang lebih dekat. Maka orang itu diambil nyawanya oleh Malaikat Rahmat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Pada riwayat lain di dalam kitab As-Sahih dikatakan :

“Dia lebih dekat sejengkal untuk menuju daerah yang baik itu maka dia dimasukkan ke dalam kelompok mereka.”

Pada riwayat lain juga di dalam kitab As-Sahih dikatakan:

“Kemudian ALLAH Ta`ala memerintahkan kepada daerah hitam itu supaya menjauh dan memerintahkan kepada daerah yang baik itu supaya mendekat dan menyuruh supaya para Malaikat itu mengukurnya. Kemudian mereka mendapati daerah yang baik itu sejengkal lebih dekat. Maka dia pun diampuni.”

Pada riwayat yang lain disebutkan :

“ALLAH mencederungkan hatinya untuk menuju ke daerah yang baik itu.”

Hadith di atas telah disalin dari kitab Riyadhus Solihin karangan Imam an-Nawawi yang mana beliau telah memasukkan hadith di atas di dalam bab tentang Taubat.

Antara pengajaran yang boleh diambil dari hadith di atas ialah :


1. Jangan lekas marah kerana lekas marah akan menatijahkan banyak perkara yang boleh membawa penyesalan.

2. Apabila timbul keinsafan, segeralah mencari jawapan dan sokongan.

3. Bertanyalah kepada orang yang betul-betul `alim. Dan mintalah pendapat dari beberapa orang `alim untuk mengesahkan jawapan.

4. Orang `alim dan orang `abid mempunyai perbezaan. Pendeta/rahib mungkin seorang yang rajin beribadah tetapi mereka mungkin tidak `alim dan tidak mampu memberikan jawapan yang tepat.

5. Berusahalah menjadi orang `alim, tidak sekadar menjadi `abid.

6. Berilah harapan dan sokongan kepada ahli masyarakat yang mahu bertaubat. Jangan menutup jalan kepada mereka untuk bertaubat.

7. Antara cara yang berkesan untuk seseorang berubah menjadi baik ialah dengan cara berhijrah dan memilih persekitaran yang baru dan baik. Kerana persekitaran yang lama mungkin boleh membantut usaha untuk berubah disebabkan faktor-faktor seperti persepsi masyarakat, pengaruh dan sebagainya.

8. Walau telah membunuh 100 orang pintu taubat sentiasa terbuka. Hatta jika dosa penuh satu dunia pun ALLAH sudi memberikan pengampunan. Ini kan pula kita yang mungkin tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Lagilah besar peluang untuk kita bertaubat. Baik sangkalah dengan ALLAH.

9. Taubat sentiasa terbuka luas dan harapan sentiasa ada untuk berubah menjadi baik.

ALLAH Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Malah ALLAH sangat suka memberikan pengampunan dan menerima taubat hambaNYA.Semoga kisah di atas memberikan dorongan dan contoh buat kita semua bahawa taubat itu sentiasa terbuka luas selagi nyawa belum ditarik oleh ALLAH `Azza wa Jalla. Kongsilah kisah sahih ini dengan semua supaya lebih ramai faham bahawa agama ini ada banyak berita yang menggembirakan dan memberikan harapan.

Sekadar berkongsi,


Jumaat, 6 April 2012

Dajjal Menurut Hadis Rasulullah SAW


Dajjal menurut Hadis Rasulullah SAW

1. Dari Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW telah bersabda "Tidak seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahwa Dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis "kaaf", "faa", "raa"." -Hadis riwayat Muslim

2. Dari Huzaifah, Rasulullah SAW telah bersabda ; "Dajjal itu buta mata kirinya, berambut lebat, ia membawa surga dan neraka, nerakanya adalah surga dan surganya adalah neraka." -Hadis riwayat Muslim

3. Dari Abu Salmah, beliau mendengar daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; "Mahukah kamu sekiranya aku menerangkan tentang Dajjal, suatu keterangan yang belum pernah diceritakan seorang nabi kepada kaumnya? Sesungguhnya ia buta sebelah mata, ia datang dengan membawa sesuatu seperti surga dan neraka. Maka apa yang dikatakannya surga adalah neraka dan aku telah memperingatkan kalian terhadapnya sebagaimana Nabi Nuh telah memperingatkan kaumnya." -Hadis riwayat Muslim

4. Abu Said Al-Khudri RA, ia berkata: "Suatu hari Rasulullah SAW pernah bercerita kepada kami suatu cerita panjang tentang Dajjal. Di antara yang beliau ceritakan kepada kami adalah: Ia akan datang tetapi ia diharamkan memasuki jalan-jalan Madinah, kemudian ia tiba di tanah lapang tandus yang berada di dekat Madinah. Lalu pada hari itu keluarlah seorang lelaki yang terbaik di antara manusia atau termasuk manusia terbaik menemuinya dan berkata: Aku bersaksi bahwa kamu adalah Dajjal yang telah diceritakan Rasulullah SAW kepada kami. Dajjal berkata: Bagaimana pendapat kalian jika aku membunuh orang ini lalu menghidupkannya lagi, apakah kamu masih meragukan perihalku? Mereka berkata: Tidak! Maka Dajjal membunuhnya lalu menghidupkannya kembali. Ketika telah dihidupkan, lelaki itu berkata: Demi Allah, aku sekarang lebih yakin tentang dirimu dari sebelumnya. Maka Dajjal itu hendak membunuhnya kembali, namun ia tidak kuasa melakukannya." -Hadis riwayat Muslim

5. Mughirah bin Syu`bah RA, ia berkata: "Tidak ada seorang yang bertanya kepada Nabi SAW tentang Dajjal lebih banyak dari apa yang aku tanyakan. Beliau bersabda: Kenapa kamu bersusah-payah menanyakan hal itu? Sesungguhnya ia tidak akan membahayakan kamu. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, mereka mengatakan bahwa Dajjal itu membawa makanan dan sungai? Beliau menjawab: Perkaranya lebih ringan di hadapan Allah dari itu." -Hadis riwayat Muslim

6. Dari Anas bin Malik RA dari Nabi SAW, beliau telah bersabda :" Tidak ada satu negeripun, kecuali akan dimasuki Dajjal kecuali Makkah dan Madinah yang setiap pintu gerbangnya ada malaikat-malaikat yang berbaris menjaganya. Kemudian Madinah menggoncang penghuninya tiga kali, sehingga, Allah mengeluarkan seluruh orang kafir dan munafik." -Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

7. Dari Salim bin Abdullah, beliau telah diberitahu oleh Abdullah bin Umar RA: "Bahwa Umar bin Khathab pergi bersama Rasulullah SAW dalam suatu rombongan menuju tempat Ibnu Shayyad dan menjumpainya sedang bermain dengan anak-anak kecil di dekat gedung Bani Maghalah, sedangkan pada waktu itu Ibnu Shayyad sudah mendekati usia baligh. Ia tidak merasa kalau ada Nabi SAW sehingga beliau menepuk punggungnya lalu Nabi berkata kepada Ibnu Shayyad: Apakah kamu bersaksi bahwa aku ini utusan Allah? Ibnu Shayyad memandang beliau lalu berkata: Aku bersaksi bahwa engkau adalah utusan orang-orang yang buta huruf. Lalu Ibnu Shayyad balik bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah engkau bersaksi bahwa aku utusan Allah? Beliau menolaknya dan bersabda: Aku beriman kepada Allah dan para rasul-Nya. Kemudian Rasulullah berkata kepadanya: Apa yang kamu lihat? Ibnu Shayyad berkata: Aku didatangi orang yang jujur dan pendusta. Maka Rasulullah SAW bersabda: Perkara ini telah menjadi kabur bagimu. Lalu Rasulullah melanjutkan: Aku menyembunyikan sesuatu untukmu. Ibnu Shayyad berkata: Asap. Beliau bersabda: Pergilah kau orang yang hina! Kamu tidak akan melewati derajatmu! Umar bin Khathab berkata: Wahai Rasulullah, izinkan aku memenggal lehernya! Beliau bersabda: Kalau dia Dajjal, dia tidak akan dapat dikalahkan, kalau bukan maka tidak ada baiknya kamu membunuh dia. Salim bin Abdullah berkata: Aku mendengar Abdullah bin Umar berkata: Sesudah demikian, Rasulullah dan Ubay bin Kaab Al-Anshari pergi menuju ke kebun kurma di mana terdapat Ibnu Shayyad. Setelah masuk ke kebun beliau segera berlindung di balik batang pohon kurma mencari kelengahan untuk mendengarkan sesuatu yang dikatakan Ibnu Shayyad sebelum Ibnu Shayyad melihat beliau. Maka Rasulullah SAW dapat melihat ia sedang berbaring di atas tikar kasar sambil mengeluarkan suara yang tidak dapat dipahami. Tiba-tiba ibu Ibnu Shayyad melihat Rasulullah SAW yang sedang bersembunyi di balik batang pohon kurma lalu menyapa Ibnu Shayyad: Hai Shaaf, (nama panggilan Ibnu Shayyad), ini ada Muhammad! Lalu bangunlah Ibnu Shayyad. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Seandainya ibunya membiarkannya, maka akan jelaslah perkara dia. Diceritakan oleh Salim, bahwa Abdullah bin Umar berkata: Maka Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah orang banyak lalu memuji Allah dengan apa yang layak bagi-Nya kemudian menyebut Dajjal seraya bersabda: Sungguh aku peringatkan kamu darinya dan tiada seorang nabi pun kecuali pasti memperingatkan kaumnya dari Dajjal tersebut. Nabi Nuh as. telah memperingatkan kaumnya, tetapi aku terangkan kepadamu sesuatu yang belum pernah diterangkan nabi-nabi kepada kaumnya. Ketahuilah, Dajjal itu buta sebelah matanya, sedangkan Allah Maha Suci lagi Maha Luhur tidak buta."  -Hadis riwayat Muslim

8. Dari Abu Said Al-Khudri RA, ia berkata: "Aku menemani Ibnu Shaid pergi ke Mekah, ia berkata kepadaku: Aku telah bertemu dengan beberapa orang yang menganggap bahwa aku adalah seorang Dajjal. Apakah kamu pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Dajjal itu tidak mempunyai anak. Aku jawab: Ya! Ia berkata lagi: Dan aku telah mempunyai anak. Bukankah kamu telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Dajjal itu tidak akan memasuki Madinah dan Mekah. Aku menjawab: Ya! Ia berkata lagi: Dan aku telah dilahirkan di Madinah dan sekarang aku sedang menuju ke Mekah. Kemudian di akhir pertanyaannya dia berkata kepadaku: Demi Allah, sesungguhnya aku tahu waktu kelahirannya, tempatnya dan di mana dia. Ia berkata: Ia telah mengaburkanku tentang perkara itu." -Hadis riwayat Muslim

9. Dari Muhammad Al-Munkadir ia berkata: "Aku melihat Jabir bin Abdullah bersumpah demi Allah bahwa Ibnu Shaid adalah seorang Dajjal, maka aku bertanya: Kenapa kamu bersumpah demi Allah? Dia menjawab: Aku mendengar Umar bersumpah tentang hal itu di hadapan Nabi SAW dan beliau tidak mengingkarinya." -Hadis riwayat Muslim

10. Dari Abu Hurairah RA: Dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Kiamat tidak akan terjadi sebelum dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta yang berjumlah sekitar tiga puluh, semuanya mengaku bahwa ia adalah utusan Allah." -Hadis riwayat Muslim

sumber : tayibah.com