Ahad, 18 November 2012

Siapakah Ustaz Ibrahim Libya?


Ustaz Ibrahim Libya merupakan tokoh utama rakyat negara ini dalam penentangan terhadap ISA. Nama sebenarnya ialah Ustaz Ibrahim b. Mahmood b. Hanafi b. Saman. Ibunya bernama Sofiah bt Cik Nik b. Mohd Hassan . Dilahirkan di Kampung Charok Putih , Mukim Siong , Baling Kedah pada pada tanggal 1 Julai 1942 . Beliau adalah anak kedua dari lima orang adik beradik .

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Weng , Baling ketika berusia 7 tahun . Pengajiannya di sekolah berkenaan terbahagi kepada dua sesi iaitu pada waktu pagi sesi pengajian akademik biasa dan pada waktu petang sesi pengajian agama Islam . Pada sebelah malamnya beliau belajar al-Qur’an dan berguru daripada Ustaz Haji Abdul Ghani. Beliau juga agak aktif dalam kegiatan sukan bola sepak dan sepak takraw di sekolah . Beliau memang dikenali sebagai seorang pelajar yang tekun dan suka membaca di samping berjimat-cermat dalam perbelanjaan .

Ustaz Ibrahim Libya meneruskan pengajian menengahnya di Sekolah Agama ( Pondok ) di Charok Putih iaitu Madrasah Ittifaqiah . Selama 3 tahun di sekolah ini beliau telah dididik dengan ilmu tauhid , tafsir , hadith , feqah dan sejarah Islam . Setelah itu beliau menyambung pengajiannya di Madrasah Khairiah , Pokok Sena yang juga dikenali sebagai Pondok Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin .Selama 8 tahun di madrasah ini , beliau mendalami lagi ilmu-ilmu agama seperti Usul Feqh , Tasawuf , Mantiq dan pelbagai ilmu lagi yang menyentuh tentang syariat Islam .

Bakatnya dalam pidato dan syarahan terserlah di sinidengan menyertai beberapa pertandingan termasuklah pertandingan perbahasan ,syarahan dan mentafsir al-Qur’an . Beliau juga mulai aktif dalam sukan seperti sepak takraw dan badminton . Walaupun beliau bertubuh kecil namun kebolehan dan bakatnya telah melonjakkan beliau sehingga menjadi Ketua Pelajar di Madrasah ini . Beliau juga digelar Osman Walad kerana bentuk tubuh yang lebih kecil berbanding rakan-rakannya yang lain . Setelah tamat pengajian di Madrasah ini belai telah menyambung pengajian di Nilam Puri , Kota Bharu , Kelantan pada tahun 1966 dan berjaya menamatkan pengajiannya dalam masa 2 malah turut melepasi peperiksaan asy-Syahadah al-‘Aliah .

Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum , Deoband , Saharanpur , Uttar Pradass di India pada tahun 1968 . Di sini beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam pengkhususan ilmu hadith . Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar , Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Syariah . Kemudian beliau telah menyambung pengajiannya di Ma’ahad Dakwah , Tripoli , Libya dan memperolehi Ijazah Dakwah Tertinggi dalam masa 1 tahun . Setelah belajar di sini , beliau mendapat gelaran Ibrahim Libya dari teman-teman dan gelaran itu berpanjangan sehinggalah Ustaz Ibrahim Libya kembali ke Malaysia .

Setelah 7 tahun merantau di luar negara , akhirnya beliau telah kembali ke Malaysia dan ditawarkan berkhidmat di Pusat Islam Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai Pegawai Dakwah . Beliau bertugas di bawah seliaan Ustaz Ahmad Awang . Setelah 3 tahun berkhidmat beliau telah meletakkan jawatan dan kembali berbakti kepada masyarakat kampungnya . Ini kerana beliau ingin memenuhi permintaan gurunya Lebai Yaakob , Charok Putih yang mahu beliau membantunya menjadi pendidik di samping beliau sendiri merasai tidak bebas berdakwah di dalam jawatan kerajaan tersebut .

Setelah kembali ke kampung , beliau aktif berceramah di seluruh negara dan membantu gurunya mengajar agama . Beliau juga telah membuka madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Islamiah Diniah di Kampung Memali . Pada masa yang sama , beliau mulai aktif dalam PAS dan memegang beberapa jawatn penting di peringkat kawasan , daerah dan negeri malah pernah diamanahkan sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah . Beliau juga pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 dan 1982 di DUN Bayu . Ustaz Ibrahim Libya telah tewas dengan majoriti 300 undi . Keaktifan dan semangat beliau untuk berdakwah menjadi ancaman kuat kepada penyokong-penyokong kerajaan dan ahli-ahli UMNO sehingga beliau difitnah dengan pelbagai tohmahan .

Kemuncaknya beliau telah difitnah sebagai pengganas dan melatih anak-anak murid untuk melakukan pemberontakan bersenjata serta menghasut orang ramai menentang kerajaan secara terbuka . Tuduhan yang dilemparkan kepada beliau belum dibuktikan melalui undang-undang negara yang sedia ada namun beliau telah dianggap sebagai seorang penjenayah besar . Ustaz Ibrahim Libya cuba untuk ditahan di bawah ISA pada 1984 namun gagal ekoran beliau telah dipertahankan oleh pengikut-pengikutnya dan sekali lagi percubaan untuk menangkapnya dilakukan pada tahun 1985 . Pihak keselamatn telah mengarahkan sejumlah besar pasukan polis termasuk unit Polis Hutan membuat kepungan bukan sahaja di sekitar madrasah bahkan di seluruh Kampung Memali . Pihak polis telah membuat sekatan jalan raya dan meminta asy-Syahid Ibrahim Libya untuk menyerah diri namun beliau tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak menyerah diri kepada pemimpin yang zalim .

Akhirnya , pihak polis telah merempuh masuk ke dalam kawasan madrasah beliau dengan sebuah kereta perisai Polis . Beliau telah ditembak dengan kejamnya dan syahid bersama 13 orang pengikutnya yang lain . Peristiwa berdarah ini lebih dikenali sebagai ‘ Tragedi Memali ’ dan tarikh 19 November 1985 pasti tidak akan dilupakan oleh mana-mana pendokong gerakan Islam di Malaysia . Berikutan tragedi ini , PAS telah diasak , ditohmah , dikekang dengan pelbagai cara termasuk dengan mengaitkan peristiwa ini dengan Amanat Hj. Hadi seorang pemikir Islam yang paling berpengaruh dalam PAS ketika itu .Ceramah-ceramah PAS telah diharamkan di beberapa buah negeri seperti Kelantan , Terengganu , Kedah serta Perlis . Kesannya cukup ampuh apabila PAS hanaya memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum tahun 1986 iaitu di kawasan tradisinya , Pengkalan Chepa .




sumber: tintadakwah

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Siapakah Ustaz Ibrahim Libya?
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?