Memaparkan catatan dengan label Rumahtangga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rumahtangga. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Februari 2013

Cara Fatimah Az-Zahra Memohon Maaf Kepada Suaminya

Ketaatan Fatimah Az Zahra kepada suaminya Sayyidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darajatnya. Fatimah Az Zahra tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Meski begitu, kemiskinan tidak menghalangi Fatimah Az Zahra untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan.

Pernah suatu hari, Fatimah Az Zahra telah membuat Ali terusik hati dengan kata-katanya. Menyedari kesalahannya, Fatimah Az Zahra segera meminta maaf berulang-ulang kali.

Melihat air muka suaminya tidak juga berubah, maka Fatimah Az Zahra berlari-lari seperti anak kecil mengelilingi Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu mohon untuk dimaafkan. Melihat tingkah laku Fatimah Az Zahra itu, tersenyumlah Ali dan lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedangkan suamimu Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyolatkankan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi nasihat kepada puterinya itu saat perkara ini sampai ke telinga Nabi SAW.

Begitulah yang ditetapkan Allah SWT mengenai kedudukan suami sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati di saat berhadapan dengan suami. Apa yang dilakukan Fatimah Az Zahra itu bukanlah suatu kesengajaan. Semoga kita bisa mengambil hikmah dari kisah agung ini..

Adakah isteri zaman ini meminta maaf apabila menyakiti hati suaminya ??





sumber: wanitakini

Sabtu, 16 Jun 2012

Alkisah Rumah Tangga di Facebook

SUAMI saya outstation lah dua hari. Rindunya kat dia nanti...,” antara kata-kata yang sering dipaparkan dalam ruangan mana-mana status di laman sembang yang popular terutamanya laman sosial Facebook (FB). Fenomena menulis ayat-ayat ‘cinta’ di samping memuat turun gambar yang agak keterlaluan untuk dipaparkan kepada umum dilihat kian menjadi-jadi dari semasa ke semasa.

Apakah rahsia rumah tangga sama ada di ambang bahagia atau sebaliknya perlu dijadikan tatapan ramai? Sedangkan apa yang dilalui pasangan itu adalah rahsia yang perlu tersimpan rapi dalam kamus hidup suami isteri. Situasi itu pastinya menimbulkan kesan negatif kelak tidak kiralah pada diri sendiri atau masyarakat sekeliling.



Mengundang keghairahan

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam kuliahnya di sebuah masjid sekitar Shah Alam baru-baru ini berpandangan bahawa, kemungkinan besar insan yang memuat turun gambar di FB mahu berkongsi kasih sayang dan kebahagiaan mereka dengan orang lain.

“Hukumnya haram, menyiarkan gambar senyum sana senyum sini adalah fitnah. Nescaya mengundang dan menaikkan nafsu orang yang melihatnya. Tidak elok bukan, walaupun individu yang bergambar itu mempunyai perhubungan yang sah di sisi Islam.

“Ingatlah lafaz ini - aku terimalah nikahnya dengan mas kahwin tersebut itu maknanya aku terimalah dia menjadi isteri ku halal bagi ku mengikut garis syariat, yang pakai tudung pun apa kurangnya, senyuman dengan pelbagai aksi. Itu semua bagi menarik perhatian ramai dan akhirnya jadilah ia suatu perkara yang tidak elok,” ulasnya dalam ceramah tersebut.

Menurutnya, FB adalah medium yang banyak manfaatnya jika digunakan sebaiknya antaranya mujahidin pembela agama ALLAH SWT di Chechnya mengaplikasikan penggunaan FB untuk menentang pencerobohan tentera Rusia, mereka menggunakan bahasa isyarat dalam FB yang tidak boleh dikemas kini tentera musuh, namun masyarakat kini bertindak sebaliknya.

Itulah yang berlaku apabila dunia berada di akhir zaman. Sementara itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, tidak
boleh mengharamkan penggunaan FB kerana ia adalah medium yang mempunyai kebaikan dan keburukan kepada pengguna. FB boleh dianggap sebagai pengikat (silaturahim). Laman sosial itu dilihat bermasalah apabila penggunanya tidak mengemudi FB kepada perkara sepatutnya.


Rahsia rumah tangga

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan
isterinya melepaskan hajatnya kepadanya kemudian dia menyebarkan rahsia itu.” (Riwayat Muslim).

Melihat kepada hadis di atas jelas menunjukkan janganlah beria-ria memuat turun gambar mahupun menaip status yang bukan-bukan di FB yang menjadi ikutan berjuta orang. Cukuplah jika anda dan pasangan tahu apa yang berlaku. Kegembiraan atau kedukaan usah dipertontonkan kepada orang lain kerana pada anda ia adalah perkara baik namun, bagaimana jika individu itu tersalah menilai.

Nabilah mengulas mengenai tindakan sesetengah pasangan yang hangat mempamerkan kisah cinta dan aktiviti mereka di FB dilihat kurang wajar kerana ia mengundang timbulnya perasaan meluat dan gejala negatif.

“Sebagai contoh, si isteri meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan suaminya, lalu dipaparkan di FB. Apabila kenalannya memberi komen yang berunsur mengapi-apikan, pasti pertengkaran akan wujud sekali gus merosakkan hubungan yang tersedia rapuh.

“FB ini bersifat serampang dua mata, digunakan dari aspek kebaikan maka baiklah jadinya jika tidak parah yang menimpa. Sekarang ini kita lihat isteri tak puas hati dengan suami, si suami pula geram dengan isteri, lepas ini ada pula anak melepaskan kemarahan pada ibunya dengan post di FB,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, perkara yang mahu dipaparkan di FB perlu ditapis, jangan semua benda mahu dikongsi, sifat malu itu perlu. Jangan berfikiran semua orang akan senang dengan tindakan yang
dilakukan.


Alternatif terbaik

Islam adalah agama yang sangat menjaga umatnya, setiap perkara yang berlaku hendaklah diselesaikan berlandaskan kaedah dan cara berdasarkan hukum dan tuntutan syariat. Nabilah menegaskan, sebagai manusia yangdikurniakan akal fi kiran waras, kita hendaklah tahu menyalurkan kemahuan ke landasan yang betul.

"Usah diikutkan kemarahan atau keghairahan yang tersemat di jiwa, melainkan apabila menghadapi saat-saat getir di mana bantuan daripada pihak tertentu diperlukan. Mungkin mula-mula post gambar atau update status di FB, si polan berkenaan tak rasa apa-apa, tapi sampai satu hari dia sendiri akan rasa malu dengan perkara yang dilakukan, sampai saat itu barulah menyesal," ulas anak kelahiran Johor ini.

Menurutnya, banyak alternatif yang boleh digunakan untuk menzahirkan kata cinta kepada pasangan.

"Usahlah dihebohkan secara melampau-lampau. Ramai juga suami isteri yang hampir bercerai disebabkan tersilap mengemudi medium sosial itu, pekalah dengan keadaan masyarakat sekeliling bukan semua boleh menerima cara kita kerana setiap manusia itu berbeza.



sumber : Sinar Harian

Khamis, 3 Mei 2012

Berkahwin Kerana Apa?

Jika asas perkahwinan adalah kerana HARTA, maka pasangan bakal bercerai jika EKONOMI dalam rumah tangga merudum dan MUFLIS.

Jika asas perkahwinan adalah kerana KEPUASAN NAFSU, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

Jika asas perkahwinan kerana KECANTIKAN WAJAH dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut .

Jika asas perkahwinan kerana ANAK, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir .

Jika asas perkahwinan kerana KEPERIBADIAN, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya .

Jika asas perkahwinan kerana CINTA, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi .

Namun,

Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya .




sumber : facebook

Khamis, 12 April 2012

Jangan Halang Keinginan Anak Nak Kahwin (Pesanan Buat Ibu Bapa)

Mak ayah, saya nak kahwin...

1. Janganlah bersusah hati kalau dia ingin berkahwin, kerana pernikahan itu membuka seribu pintu rezeki. Perkahwinan atas nama Islam, sudah pasti akan diredhai Allah.

2. Janganlah dihalang keinginannya, kerana Allah sudah berjanji, barangsiapa berkahwin keranaNya pasti akan dipermudah segala urusan.

3. Jangan sesekali risau pasal pelajaran, kerana ia takkan pernah berhenti. Hatta sampai ke mati sekalipun, ilmu takkan pernah habis dicari.

4. Walaupun dia belum bekerja, bukan bermaksud dia tidak boleh menyara bakal isterinya. Sudah tercatat di dalam Quran, orang miskin sekalipun pasti akan dimampukan oleh Allah lepas berkahwin.

5. Jangan risau anakmu dapat bayi atau tidak. Nikah itu sendiri bukan jaminan untuk dapat bayi, kerana semua itu adalah kerja Allah. Lagipun anakmu itu sudah ada perancangannya yang tersendiri.

6. Berkahwin itu menghalang maksiat. Daripada dia melihat perempuan di sana sini, lebih baik dia melihat isterinya saja. Dapat pahala lagi.

7. Dengan berkahwin, anakmu akan jadi lebih bersemangat, bila ada kekasih yang selalu setia memberi dorongan. Kerja juga menjadi lebih produktif.

8. Percayalah yang dia sudah bersedia untuk bertanggungjawab. Jika ditanya mana-mana suami isteri pun, sudah pasti tiada yang mengatakan mereka berkahwin sekadar suka-suka.

9. Jangan dilihat kematangan pada usia, tapi lihatlah pada peribadi dirinya. Jika dia sudah bersedia menjadi pemimpin, maka benarkanlah dia jadi pemimpin kepada isterinya pula.

10. Ilmu agamanya sedikit cuma, tapi tiada pernah berhenti mencari ilmu. Maka doakanlah supaya dia dapat menjadi seorang lelaki/wanita yang lebih soleh/solehah.

11. Usia remajanya mengajar seribu erti kehidupan. Kini sudah sampai masanya untuk anakmu melangkah ke alam dewasa pula, bagi meraih lebih banyak pengalaman.

12. Semua ini hanyalah keinginan anakmu saja. Namun kiranya tiada dipersetujui, anakmu terima sepenuh hati. Kerana dia juga tahu, bagaimana untuk menghormati keputusan kedua orang tuanya.

13. Andai kiranya kalian bersetuju ingin mendapat anak menantu, maka izinkanlah anakmu ini mencari calonnya. InsyaAllah, bukan calon isteri yang dicari, tapi calon ibu kepada cucumu yang akan dicari.

14. Apa pun jua keputusan dipilih, semoga Allah sentiasa memberkati. Dan semoga pilihan itu adalah yang terbaik. Sama-samalah kita berharap kepadaNya.

15. Tapi apakan daya dia hanya mampu menulis untuk meluah isi hati. Andai isi hati anakmu ini dapat dibaca dan difahami oleh mak dan ayah, alangkah bagusnya.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan anak mak dan ayah ini, amin.



sumber : fb syahirul.com

Khamis, 1 Mac 2012

Tips Kahwin Muda Dan Cara Berhadapan Dengan Ibu Bapa

Perkahwinan merupakan salah satu tuntutan Islam yang wajib sekiranya seseorang individu tersebut mempunyai kelayakan dan cukup syarat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri. Dalam masyarakat kita pada hari ini, tidak ramai yang memilih untuk melaksanakan perkahwinan dalam usia yang muda. Muda disini adalah dalam lingkungan 20-24 tahun.

Usia sebegitu seringkali dianggap sebagai belum cukup dewasa atau matang bagi memenuhi tuntutan dalam perkahwinan. Namun ianya bukanlah satu masalah yang tidak boleh diselesaikan. Terdapat beberapa tips bagi mereka yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan seawal usia 20-24 tahun.


Berikut adalah tips-tips yang boleh anda cuba ikuti :-

1- Anda harus menonjolkan akhlak dan peribadi yang baik kepada ibubapa, adik-beradik, saudara mara serta orang sekeliling. Sahsiah diri yang terpuji mampu meyakinkan ibubapa untuk ‘melepaskan’ anda ke dunia lain yang lebih mencabar iaitu perkahwinan.

2- Tunjukkan kematangan anda dalam setiap pekerjaan yang anda lakukan. Baik dari segi membuat keputusan mahupun dalam berfikir dan bertindak. Kematangan dalam kepimpinan juga penting bagi lelaki yang ingin mendirikan rumahtangga seawal usia yang muda.

3- Jaga ibadah dan amalan sebagai seorang Muslim yang baik. Lakukan amalan wajib dengan sempurna dan tingkatkan amalan-amalan sunat yang lain sebagai persediaan rohani sebelum bergelar pasangan suami isteri.

4- Beritahu keluarga dan orang-orang terdekat anda bahawa perkahwinan yang bakal anda dirikan bukanlah berlandaskan nafsu semata-mata. Akan tetapi perkahwinan yang anda ingin dirikan adalah sebagai memenuhi salah satu tuntutan ibadah dan tanggungjawab seorang Muslim.

5- Anda juga perlu menunjukkan sedikit sumber pendapatan yang anda miliki sekarang bagi meyakinkan ibubapa anda untuk anda berumahtangga. Sumber tersebut adalah seperti gaji bulanan, side income serta simpanan anda terdahulu. Bagi yang masih belajar, usahakan untuk mencari side income sendiri dengan melakukan kerja-kerja luar (part-time) ataupun berniaga sendiri secara kecil-kecilan. Ini penting sebagai keyakinan kepada ibubapa bahawa anda mampu untuk menganggung pasangan seawal usia muda.

6- Buat pasangan yang masih belajar, letakkan usaha dan ilmu di tahap yang tertinggi. Pastikan perancangan anda untuk mendirikan perkahwinan tidak mengganggu pelajaran dan fokus anda sebagai pelajar. Fahamkan pasangan dan ibubapa tentang komitmen utama anda. InsyaAllah mereka akan menyokong dengan baik.

7- Jalankan tugas dan tanggungjawab anda dengan lebih baik dari kebiasaan bagi 'membeli' kepercayaan dan keyakinan ibubapa dan pasangan yang anda mampu menjalankan tanggungjawab sekiranya berkahwin kelak.

8- Anda perlu bijak dalam melakukan perbincangan bersama keluarga bagi menyatakan hasrat anda berkahwin seawal usia yang muda. Cari mood yang baik dan pastikan kesemua tips-tips di atas sudah dipenuhi. Bawa berbincang dan tunjukkan kesungguhan anda dalam perkara ini. Ambil hati ibubapa anda supaya mereka dapat mendengar dengan baik dan tidak membantah. Minta juga nasihat dan pendapat dari mereka.

9- Sekiranya cadangan dan permintaan anda ditolak, jangan berputus asa. Teruskan usaha dan tunjukkan kesungguhan yang mendalam terhadap perkara ini. InsyaAllah lama-kelamaan keyakinan dan kepercayaan ibubapa anda akan datang dan mereka sendiri akan menanyakan semula permintaan anda untuk berkahwin. Terus berdoa usaha dan tawakal.InsyaAllah.

sumber : facebook

Isnin, 20 Februari 2012

Pasangan Romantik di Tanah Suci?


Sekali pandang gambar ini nampak romantik sungguh pasangan ini. Apa tidaknya berpelukkan ditempat yang sesak begini di Tanah Suci. Nak tahu kenapa si isteri dan suami ini berpelukkan?

Semasa gambar ini disiarkan , ramai orang yang bersangka tidak baik terhadap pasangan ini. Tetapi, jika dilihat dengan teliti, lelaki itu sebenarnya hanya mempunyai sebelah kaki sahaja .

Dan tidak mungkin ditempat suci ini dibenarkan untuk pasangan bukan mahram berkeadaan seperti ini , jadi sangat jelas ini adalah pasangan yang juga muhrimnya .

Dalam kata erti lain , apa yang ingin dijelaskan oleh jurufoto ini ialah KEBAIKKAN SEORANG ISTERI apabila sanggup memapah dan menolong Suaminya ketika dalam setiap perjalanan mengerjakan Ibadat di Tanah Suci Mekah .

Masyaallah ... Betapa besarnya pengorbanan seorang Isteri dan kesanggupannya bersama dengan suami dalam mengejar keredhaan akhirat ... Bersama - samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran , juga sentiasa bersangka baik Insyaallah .

Bermuhasabah lah bagi wanita - wanita diluar sana , adakah anda mampu untuk menjadi seperti ini ?

Khamis, 22 Disember 2011

Suri Rumah : Bekerja atau Tidak Bekerja?

Kaunselor : Apakah pekerjaan Encik Zainal?

Encik Zainal : Saya bekerja sebagai Akauntan di sebuah Bank.

Kaunselor : Halimah pula?

Encik Zainal : Dia tidak bekerja. Hanya suri rumah sahaja.

Kaunselor : Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?

Encik Zainal : Halimah yang sediakan sebab dia tak kerja.

Kaunselor : Pukul berapa Halimah bangun untuk sediakan sarapan??

Encik Zainal : Pukul 5 pagi dia bangun kerana saya akan keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi.

Kaunselor : Anak-anak encik Zainal ke sekolah bagaimana??

Encik Zainal : Halimah yang hantar sebab dia tidak bekerja.

Kaunselor : Selepas hantar anak-anak, Halimah buat apa?

Encik Zainal : Pergi ke pasar, kemudian balik rumah untuk memasak dan kemas rumah. Halimah kan tak bekerja.

Kaunselor : Petang hari selepas Encik Zainal balik rumah, apa yang Encik Zainal lakukan?

Encik Zainal : Balik berehat, kerana seharian saya penat bekerja.

Kaunselor : Apa Halimah buat?

Encik Zainal : Sediakan makanan, melayan anak, mengemas dan dia juga mengambil upah menjahit. Dia menjahit sehingga lewat malam kerana dia tidak bekerja.


Berdasarkan cerita di atas, anda rasa siapa yang lebih banyak bekerja?? Rutin sehatian Halimah bermula dari sebelum Subuh sehingga lewat malam, itu juga dikatakan TIDAK BEKERJA?? Suri rumah memang tidak perlukan segulung ijazah atau pangkat yang besar, tetapi peranan suri rumah sangat penting!