Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan

Rabu, 17 Julai 2013

Peristiwa Sejarah Pada Hari Ke 4, 5 dan 6 Ramadhan

Photo
Tahukah anda ?
4 Ramadhan 1298H 1882 M
Pada tarikh ini Ahmad Al-Husaini Urabi atau lebih dikenali Ahmad Urabi telah dipecat oleh Taufik Khudawi dari jawatan Menteri Pertahanan Mesir.

Dia kemudiannya mengetuai Revolusi 1882 dengan semangat nasional dan kecintaan kepada negara yang tinggi beliau diangkat sebagai pahlawan menentang pencerobohan tentera asing seperti Enggeris, Perancis dan beberapa buah negara Eropah.

Disebabkan kebencian raja Taufik terhadap beliau ketika itu sehingga bekerjasama dengan kuasa asing bagi menghapuskan beliau dan pengaruhnya.

Walaupun dipecat, beliau tetap diiktiraf sebagai Menteri Pertahanan yang sah oleh beberapa Gabenor dan tokoh ulama serta sebahagian besar rakyat Mesir ketika itu.

Namun perjuangannya tidak kekal lama selepas dipatahkan pada tahun 1882 apabila Inggeris melakukan serangan atas permintaan Taufiq. Serentak tu juga bermulalah penjajahan 74 TAHUN British di Mesir.

Tahukah anda ?

5 Ramadhan 361H 972M
Pada tarikh ini Sultan Muizz dari pemerintah Kerajaan Fatimiyyah(Syiah) mula memasuki Mesir selepas sebelumnya mengarahkan Panglima tenteranya Jauhar Saqoli membuka dan membangunkannya sebagai sebuah Ibu negara Baru kerajaan Fatimiyyah.

Antara hasil binaanya adalah Masjid Al-Azhar dan Kota Kaherah.
Kemudian Jauhar Saqoli kemudiannya menyerahkan pemerintahan kepada Abdul Muiiz selapas kedatangannya.

Jauhar Saqoli juga popular ceritanya dalam kalangan Kristian Qibti Mesir yang mengatakan bahawa dia telah memeluk agama Krsitian.
_______

Kerajaan Fatimiyyah

Jangka Hayat : 909-1171 (262 tahun)
Mazhab Agama : Syiah Ismailliyah

Negara Jajahan : Mesir, Tunisia, Yaman, Algeria, Libya, Maghribi dan lain-lain
Ibu Negara : Mahadidiayah (Tunisia), Kaherah (Mesir)

Pembentukan negara :
Pemberontakan dan revolusi ke atas wilayah-wilayah Abbasiyah dan wilayah-wilayah Umayyah di sebelah barat Afrika : andalusia, pernah juga menakluk Hijaz serta 2 Masjid suci Umat Islam Madinah dan Mekah.

Fannus (tanglong Mesir) adalah sebahagian peninggalan budaya mereka.

Tahukah anda ?

6 Ramadhan 223 H

Sultan Al Mu'tasim seorang Khalifah Abbasiyyah memulakan pengepungan terhadap kota 'Umuriyah' yang merupakan benteng pertahan terkuat kerajaan Benzantiniyyah di Asia kecil.

Kisah ini mahsyur dengan panggilan "Wa Mu'tasimah" satu panggilan oleh seorang Muslimah yang dianiaya dan ditangkap oleh tentera kerajaan Byzantine Rom, panggilan tersebut didengarinya lalu menghantar setumbukan askar yang ramai untuk menakluki kota tersebut.

Beliau sebelum itu menghantar surat kepada Gabenor Rom tersebut yang berbunyi :

"Daripada Amir Mukminin Al-Mu'tasim Billah kepada anjing Rom, lepaskanlah perempuan itu atau aku akan hantarkan kepadamu tentera yang awalnya di hadapanmu dan barisan terkahirnya di sisiku"

Sambil bergerak menuju ke tempat pertempuran beliau melaungkan; "aku datang wahai saudara perempuanku"

antara faktor pengepungan Kota Umuriyyah juga adalah disebabkan kezaliman gabenor Rom terhadap kaum Muslimin di wilayah jajahannya dan penghancuran Kota Zabtorah yang merupakan tempat lahir Khalifah Al Mu'tasim.

Usaha beliau berhasil dengan tertakluknya kota tersebut.

Sumber :
Kitab “Ramadhaniyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.

Rabu, 30 Januari 2013

Jenazah Hanzalah Yang Mati Syahid Dimandikan Malaikat

Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud.

Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah saw, “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti”. Pada masa itu, Nabi Muhammad saw dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini”, balas Rasulullah saw. “Tetapi saya sungguh berhajat untuk menyertainya”, Hanzalah bertegas. Rasulullah saw berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.

Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu, perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkan dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.

“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”

“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”

“Perang akan bermula!”

Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas bangun dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka”. “Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah”.

Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya, semoga saya beroleh kemenangan”. Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan”.

Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.

Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat kewibawaan tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut. Akhirnya Abu Sufyan tersungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.

Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak”. Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.




Selasa, 25 Disember 2012

Kisah Sebelum Saidina Umar Al-Khattab Memeluk Islam

Hati kecilnya tidak sanggup lagi melihat abangnya terus-menerus menjadi seteru Allah. Sejak Islam bersinar di bumi yang kontang itu,entah sudah berapa nyawa yang rebah hasil perbuatannya. Dia menyedari tiada kekuatan yang ampuh untuk menghalang segala kedurjanaan abangnya. Kerana abangnya terkenal dengan sikap bengis,keras kepala dan tidak mahu tunduk kepada sesiapa pun. Lantaran keperibadiannya itu membuatkan kaumnya takut,tunduk dan terpaksa hormat kepadanya. Masa terus berlalu,kedurjanaan itu semakin meresahkan hati Fatimah. Dikala itu hanya Tuhan saja yang tahu isi hatinya.

Sikap abangnya yang terlalu menghina dan memusuhi Islam sangat menghiris hatinya. Segala peristiwa itu membuatkan Fatimah rasa malu pada Rasulullah s.a.w dan para sahabat,lebih-lebih lagi pada Allah s.w.t Itu semua membuatkan ia bangun ditengah malam untuk menceritakan segalanya pada Tuhan. Tuhan Yang Maha Baik tentu tidak akan melupakan hambanya. Fatimah pernah mendengar Rasulullah berdoa,demikian bunyinya: “Wahai Allah s.w.t ,muliakan Islam dengan salah seorang dari dua Umar,Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.” Fatimah berharap sangat agar Tuhan memilih abangnya,Umar bin Al Khattab untuk menguatkan Islam.

Walaupun sifat abangnya terlalu garang,keras kepala,tegas dalam mempertahankan pendiriannya,dan menyeksa hambanya yang memeluk Islam hingga ada yang mati. Menurut sejarah,11 orang pernah diseksa oleh Umar hingga ada yang mati dan tercedera. Fatimah rasa bertanggungjawab untuk membetulkan dan mengislamkan abangnya. Tapi apalah dayanya,sedangkan keIslamannya sendiri masih disembunyikan dari pengetahuan abangnya. Kalau Umar tahu dia telah Islam,tentu buruk padahnya. Tentu berbagai penderitaan dan seksaan akan menimpanya. Sebab itulah Fatimah hanya mampu berdoa dan merintih kepada Allah siang dan malam. Semoga Allah selesaikan masalahnya segera. Bukankah Allah pernah berfirman dengan maksudnya:

“Pintalah kepada-Ku,nescaya Aku akan kabulkan permintaanmu.”

Fatimah Al-Khattab yakin sungguh-sungguh bahawa Tuhan tentu tidak memungkirkan janji-Nya. Kiranya dia benar-benar menyerah diri kepada Allah dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya. Tuhan yang Maha Penyayang,Maha Pengasih,Maha Mengetahui, Maha Mendengar lagi Maha Agung tentu mendengar rayuannya setiap hari dan pasti akan menunaikan permintaannya. Pada suatu malam,Fatimah dan suaminya Said bin Zaid membuka kembali lembaran - lembaran kalam Allah yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Fatimah melagukan ayat-ayat itu dengan alunan irama yang indah,air matanya melimpah keluar ketika menghayati maksud dari ayat-ayat tersebut. Suaminya yang memerhati dan menyemak segala bacaannya turut terharu. Ayat-ayat yang dibaca oleh Fatimah menusuk kedalam jantungnya ,tenggelam dalam hatinya dan terus bertebaran ke dalam urat sarafnya.

Sedang masing - masing khusyuk menghayati maksud ayat Al-Quran itu,tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang mengintip dan memasang telinga mendengar ayat yang dibaca. Mata itu memandang dengan pandangan sinis tanpa berkelip - kelip,merah menyala menahan marah. Walaupun kalimah yang dibaca itu agak kurang jelas namun dia yakin bahawa kedua suami isteri itu kini telah Islam sebagaimana kata seorang pemuda yang ditemuinya sebentar tadi. Dengan suara lantang,Umar menjerkah mereka. Fatimah tersentak lalu cepat-cepat dia menyimpan lembaran itu.

“Kalimah apa yang aku dengar tadi??” Mereka berpura-pura menggeleng-gelengkan kepala menandakan tidak tahu.

“Aku mendengar kamu berdua telah mengikut agama Muhammad?Benarkah begitu?” jeritnya bagaikan halilintar. “Apa pendapatmu sekiranya agama selain agamamu itu adalah benar?” jawab adik iparnya Said. Mendengar itu Umar melompat ke arah iparnya itu,terjadilah pergelutan. Umar menarik janggut Said. Said terlentang,lalu diduduki oleh Umar di atas dadanya,sehingga tidak bergerak.Melihat kejadian itu Fatimah menolak badan Umar untuk membela suaminya. Spontan Umar berdiri lalu menempeleng muka adiknya. Fatimah terjatuh,dan darah merah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya.

Fatimah bangkit dari tempat jatuhnya,tiba-tiba seakan-akan ada satu seruan yang menggesanya supaya mengatakan sesuatu kerana masa itulah saat yang paling sesuai untuk diterangkan mengenai Islam. Tanpa menghiraukan darah yang berhamburan itu Fatimah berkata dengan penuh keyakinan: “Wahai musuh Allah,engkau pukul kami kerana kami mengEsa kan Allah. Engkau boleh buat sesuka hatimu. Sekalipun engkau bunuh kami,kami tetap mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah,dan bahawa Muhammad s.a.w itu adalah Rasul Allah,yang akan membersihkan dunia ini dari sebarang kezaliman dan penindasan.

”Darah yang mengalir keluar dari hidung dan mulut Fatimah serta jawapannya yang begitu berani,membawa kesan yang mendalam pada jiwa Umar. Dengan tiba-tiba dia rasa menyesal dan sedih atas tindakannya yang melulu itu. Dia merasa bersalah kerana memukul adik kandungnya sendiri.

Dengan suara merendah,Umar berkata: “Berikan aku apa yang kamu baca tadi.”

Fatimah agak keberatan memberi kan lembaran itu tetapi melihatkan kesungguhan abangnya yang ingin mengetahui akhirnya Fatimah mengeluarkan lembaran ayat Al-Quran itu dan diberikan kepada Umar. Ayat tersebut berbunyi: “Kami tidak menurunkan Al-Quran itu kepadamu agar kamu mendapat kesusahan,tetapi sebagai peringatan bagi orang-orang yang takut (kepada Allah). Diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas arasy.” [Surah Thaha: 1-5]

Berkata Sayidina Umar Al-Khattab: "Aku mengamati semua sahabat,dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua jenis pakaian,tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada taqwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik,namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki,tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar. Umar berpaling pada Fatimah seraya berkata “Alangkah baik dan indahnya kalimah-kalimah ini.”

Mendengar jawapan tersebut keluar dari bibir Umar,Fatimah terasa seakan - akan bermimpi tapi bila sedar kembali itulah sebenarnya kenyataan. Fatimah berkata sambil menyebut kata-kata Rasulullah: “Ya Allah,kuatkanlah Islam dengan Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.Maka Allah telah memilih Umar,saudaraku sendiri.” Tiga kali Fatimah menyebut nama Allah kerana terlalu berterima kasih pada Tuhan yang telah memperkenankan doa Rasulullah s.a.w dan rintihan hatinya selama ini. Jiwa Umar kini telah berubah,jiwanya kini telah disinari dengan cahaya iman dan hidayah.

Umar berkata kepada Fatimah: “Tunjukkan kepadaku dimana Muhammad berada,aku akan datang padanya demi Islam.” Setelah memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w berada dirumah Arqam bin Abi Arqam,Umar bergegas meninggalkan mereka untuk mendapatkan Rasulullah s.a.w Kalau sebelum ini tujuannya adalah untuk memerangi Rasulullah tapi kini untuk berdamai dan menyatakan keislamannya.

Fatimah memandang suaminya,Said tersenyum,Fatimah turut tersenyum gembira. Setelah membersihkan darah yang keluar dari hidung dan mulutnya,Fatimah lantas sujud syukur kepada Allah. Bersyukur kerana telah menyelesaikan masalahnya. Bersyukur kerana Allah telah menyelamatkan saudara kandungnya dari terus kufur. Begitulah seorang wanita yang terpimpin hatinya. Wanita yang kaya jiwanya dengan segala sifat kesabaran,redha,dan tawakal pada Allah s.w.t. tenang berada dalam penderitaan,hatinya mengenagi Allah dengan rasa takut dan harap kepada-Nya. Hatinya sentiasa merasa kehebatan,keagungan,kemurahan dan kasih sayang Allah s.w.t Setiap masa yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk berfikir, mencari dan mengenali Allah s.w.t .

Matanya digunakan untuk membaca ayat-ayat Allah sebanyak- banyaknya. Telinganya digunakan untuk mendengar tentang Allah. Kaki dan tangannya digunakan untuk berbakti kepada Allah. Kesimpulannya seluruh anggotanya digunakan untuk mencari keredhaan Allah. Maka di dunia lagi Allah beri kemenangan kepadanya. Sejuklah hati Fatimah melihat abangnya kini bukan lagi seperti abangnya dulu.

Telah berubah menjadi manusia yang sempurna lahir dan batin. Hasil dari kesungguhan Umar bermujahadah,Allah muliakan darjatnya sebaris dengan para sahabat yang lain seperti Sayidina Abu Bakar yang dijamin syurga. Sebelum tidur,dia mengenang kembali perbuatannya sepanjang hari. Kalau dia terbuat sesuatu yang tidak disukai Allah s.w.t ,Umar akan merotan badannya sendiri hingga bengkak - bengkak. Didermakan separuh dari hartanya untuk membantu memperjuangkan agama Islam.

Doa Sayidina Umar yang paling terkenal: “Ya Allah, sibukkanlah aku dalam urusan agama-Mu.”

Saidina Umar Al - Khattab paling kuat mempertahankan hukum Allah. Pada masa ia menjadi khalifah,satu ketika anaknya sendiri terlajak membuat maksiat,Anak itu dihukum sesuai dengan hukum syariat Islam,dan akhimya anak itu mati ketika menjalani hukuman tersebut. Ketegasan Umar membezakan perkara yang hak dan yang batil membuatkan beliau digelar ‘Al Farouq’.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya ada nabi selepasku nescaya Umarlah orangnya.”

Begitulah kehebatan Saidina Umar Al-Khattab. Namun,tentunya kita tidak melupakan adiknya, Fatimah kerana di rumah Fatimahlah,menjadi tempat terbukanya jiwa Umar menerima cahaya llahi.Maka atas dasar itulah sesuai sekali Fatimah digolong dalam kelompok wanita solehah ,wanita mukmin sejati yang begitu berani mempertahankan keyakinan dan imanannya.

Selain dari itu kehebatan Sayidina Umar ialah ia seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga,baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui darimana ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu. Tanpa berlengah,

Umar bertanya kepada lelaki itu: “Dari manakah kamu dapat susu ini?”

Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan dipadang pasir. Unta-untanya itu meragut rumput di situ.” Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.Umar berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

"Siapa yang banyak cakap,banyaklah salahnya,bila banyak salahnya, banyaklah dosanya,bila banyak dosanya,maka neraka adalah yang utama baginya" - [SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB]

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati,dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

“Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini,” kata Umar. Mendengar berita itu,isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isteri Umar. Umar tidak berkata apa-apa.Sejenak kemudian,beliau bersuara: “Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?” Tidak ada orang yang menjawab.

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya. Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: “Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?” Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata:

“Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita.” Oleh kerana itu,Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.



Jumaat, 7 September 2012

Pesanan Buat Pejuang Islam Dari Medan Al-Qadisiyyah



"Kepahlawanan Saad bin Abi Waqqas tertulis dengan tinta emas saat beliau memimpin pasukan tentera Islam menentang tentara Parsi Majusi pada masa lampau di Medan Qadissyah, Iraq.

Peperangan Qadisiyyah merupakan salah satu peperangan terbesar yang belum pernah terjadi sebelumnya di Iraq. Sejumlah kisah keberanian dan pengorbanan yang mendebarkan hati menghiasi insiden bersenjata ini.

Peristiwa monumental tersebut berlangsung pada tahun 14 H, iaitu pada zaman khalifah Umar bin al Khaththab R.A. Umar telah memerintahkan Saad bin Abi Waqqas bersama 30 000 pasukannya, berangkat menuju Qadasiyyah. Umar kemudiannya turut melaungkan tekadnya, "Demi Allah, aku akan mempertemukan penguasa bukan Arab dengan penguasa-penguasa di kalangan Arab."

Di antara mereka yang menuju ke medan Qadisiyyah terdiri daripada sembilan veteran perang Badar, manakala 300 pasukan yang lain pernah ikut serta dalam ikrar Bai'at Ar Ridhwan di Hudaibiyyah, dan 300 di antaranya mereka yang lain pernah mengikut serta dalam memerdekakan Makkah (peristiwa Fathu Makkah) bersama pimpinan Rasulullah S.A.W. Manakala yang berbaki adalah putera-putera Para Sahabat, dan ribuan wanita yang ikut serta sebagai perawat. Untuk mengekang pasukan tentera Muslim yang hadir ini, pasukan Parsi telah bersiap untuk bertempur dengan jumlah tentera 120 ribu orang dibawah panglima perang kawakan mereka, Rustum.

Sebelum tentera Islam menghadapi tentera Parsi di medan al Qadisiyyah, Khalifah Umar al Khattab R.A telah mewasiatkan pengajaran yang berguna buat kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas R.A,

"Sesungguhnya aku memerintahkanmu dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah Taala dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita."

Di dalam Bidayah wan Nihayah Ibn Kathir mencatatkan, "Apabila bertembungnya dua bala tentera (Islam pimpinan Saad ibn Abi Waqqas dan Parsi pimpinan Rustum di medah al Qadisiyyah) Rustum mengutus utusan kepada Saad supaya dihantar kepadanya seorang yang bijak dan tahu menjawab soalannya. Lalu Saad mengirim al Mughirah ibn Syu'bah R.A".

Apabila al Mughirah ibn Syu'bah tiba, Rustum terus berkata kepadanya, "Kamu jiran kami. Kami telah bersikap baik kepada kamu. Kami menahan diri dari menyakitkan kamu. Pulang ke negeri kamu dan kami tidak akan menghalang kamu datang berniaga ke negeri kami."

Panglima Al Mughirah menjawab, "Kami bukan mencari dunia. Keinginan dan tuntutan kami adalah akhirat. Allah Taala telah mengirimkan seorang utusannya kepada kami dengan membawa pesanan (( Aku serahkan kepada kumpulan ini untuk menguasai setiap orang yang tidak beragama dengan agamaku (agama Islam) dan aku menghukum mereka melalui kumpulan ini. Aku tetap memberi jaminan bahawa kemenangan menjadi milik mereka (umat Islam) selama mana mereka berikrar dengan perkara ini (hukum-hukum Islam). Ia (Islam) adalah agama kebenaran. Sesiapa yang membencinya pasti dihina. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti mulia."

Rustum bertanya, "Maka apa dia sebenarnya?"

Al Mughirah menjawab, "Asas perjuangan kami ialah kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Nabi Muhammad adalah Rasulullah S.A.W dan memperakui apa jua yang dibawa dari Allah Taala."

Rustum menjawab, "Alangkah baiknya perkara ini! Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Membebaskan hamba-hamba dari penyembahan kepada sesama hamba kepada penyembahan kepada Allah."

Rustum menjawab, "Ini baik juga. Apa lagi?"

Al Mughirah menjawab, "Ke semua manusia adalah anak-anak Adam. Mereka semua bersaudara dari satu bapa (Nabi Adam) dan satu ibu (Hawa)."

Rustum menjawab, "Baik juga. Adakah jika kami masuk agama kamu, apakah kamu akan kembali dari negeri kami?"

Dia menjawab, "Demi Allah. Kami tidak mendekati negeri kamu melainkan untuk urusan muamalah dan apa-apa hajat."

Apabila al Mughirah keluar, Rustum berbincang dengan kumpulannya tentang masuk Islam, namun mereka enggan menerima.

Ibn Kathir seterusnya mencatat, "Kemudian Saad bin Abi Waqqas kembali menghantar seorang lagi utusan dengan permintaan darinya iaitu Rub'ie ibn 'Amir".

Mereka bertanya, "Khabar apakah yang membawa kedatanganmu ke sini?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada kelapangannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia kepadanya. Sesiapa yang menerimanya kami menerimanya dan kami kembali darinya. Sesiapa yang enggan kami peranginya sehingga kami kembali kepada janji Allah Taala (sama ada mati syahid ataupun mencapai kemenangan)."

Mereka bertanya, "Apa dia janji Allah itu?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Syurga bagi yang mati berperang dan kemenangan bagi yang hidup."

Rustum berkata, "Aku telah dengar ucapanmu. Apakah kamu boleh tangguhkan urusan ini sehingga kami boleh bertenang memikirkan tawaranmu dan kamu juga bertenang menanti jawapan kami?"

Rub'ie ibn 'Amir menjawab, "Ya. Berapa lama kamu mahu? Sehari atau dua hari?"

Rustum menjawab, "Kamu perlu tunggu sehingga kami selesai menulis surat kepada penasihat-penasihat dan wakil-wakil kerajaan kami."

Rub'i ibn 'Amir berkata, "Kami tidak diajar untuk menangguhkan musuh ketika bertempur lebih dari tiga hari. Selesaikan urusan antara kamu dan mereka itu segera."

Rustum bertanya, "Alangkah tegasnya kamu, adakah kamu ini ketua tentera Islam?"

Rub'i ibn 'Amir menjawab, "Tidak. Tetapi umat Islam itu seperti satu jasad. Orang yang paling lemah dilindungi oleh orang paling kuat (tiada sikap zalim-menzalimi antara satu sama lain)."

Kemudian Rustum bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya dan berkata, kata Rustum, "Adakah kamu dapat melihat manusia lebih berwibawa dan lebih bijak dari kata-kata lelaki ini (Rub'ie ibn 'Amir)?"

Mereka menjawab, "Mengapa kamu berkata demikian? Adakah kamu mahu cenderung kepada agama dia ini (agama Islam) dan meninggalkan agama nenek moyang kita. Engkau tidak lihat bajunya?"

Rustum menjawab, "Celaka kamu. Jangan lihat kepada bajunya (yang kusut-masai), tetapi lihatlah kepada pendapat, percakapan dan keperibadiannya. Orang Arab memang bermudah-mudah dalam hal pakaian dan makanan, namun mereka menjaga maruah dan keturunan." - Rujuk "al Bidayah Wan Nihayah" Jilid 9 Halaman 621-623.

Peperangan al Qadisiyyah berakhir pada tahun 15 H dengan kekalahan tentera Parsi.