Isnin, 12 Disember 2011

Peringkat Isteri Dalam Memberi Ketaatan dan Meminta Nafkah

1.Isteri Siddiqin

Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan oleh suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya.

Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau mencari gagak putih. Ini adalah perempuan yang luar biasa.

2.Isteri Muqarrobin

Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu (dharuri) sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3.Isteri Solehin

Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu (dharuri) dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Maka itulah dia golongan orang yang soleh.

4.Isteri Fasik

Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu (dharuri), yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun rasa tidak cukup. Mahu lagi, selalu meminta lagi. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut, marah-marah, sakit hati, merajuk, hingga menjadi masalah di dalam rumahtangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.

Sikap, tindakannya, percakapannya selalu sahaja menyusahkan suaminya, membuatkan suaminya selalu serba salah dibuatnya. Berbagai-bagai kehendaknya diberi, berbagai-bagai kemahuannya terpaksa ditunaikan. Adakalanya pakaian terpaksa hendak ditukar sebulan atau dua bulan sekali, asyik pergi shopping sahaja. Namun demikian, tidak juga puas dan tidak juga merasa cukup. Macam-macam yang dia hendak.

Akhirnya krisis rumahtangga tidak pernah berhenti, sentiasa bergolak, sentiasa bergelombang, macam air laut yang tidak pernah berhenti-henti daripada bergelombang dan bergelora. Lama-kelamaan bercerai juga.
Kalaupun tidak bercerai kerana hendak menjaga air muka atau hendak menjaga nama baik atau tidak mahu anak porak-peranda, tapi apalah ertinya rumahtangga yang begitu rupa. Di manalah keindahannya lagi? Apalah bahagianya kalau gelombang dan gelora krisis tidak pernah rehat dan tenang. Apalah akan jadi kepada anak-anak melihat ibu bapa sentiasa macam kucing dengan anjing.

sumber : facebook

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Peringkat Isteri Dalam Memberi Ketaatan dan Meminta Nafkah
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?