Ahad, 22 April 2012

Ilham dan Kasyaf Dalam Islam

Kasyaf adalah salah satu karamah atau kelebihan yang diberikan Tuhan kepada hamba-hambaNya yang dikasihiNya. Apa yang ingin disebut di sini adalah kasyaf yang dianugerahkan Tuhan kepada kekasihNya atau waliNya.Walaupun tidak dinafikan, ada kasyaf yang didapati oleh orang awam, kasyaf sebegitu boleh menipu dan merosakkan diri merka. Kasyaf itu jika tidak dipimpin dan dijaga, nescaya menjadi istidraj kepada mereka.

Bagi wali Tuhan ini, hal-hal kasyaf sebenarnya telahpun dijanjikan Tuhan sepertimana dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: Orang yang mendekatkan diri kepadaKu, mengerjakan yang fardhu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka.

Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:

1) Kasyaf Mata

Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.


2) Kasyaf Telinga

Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin Islam yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif. Tujuannya ialah Allah hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia boleh mengelak daripada bahaya itu.


3) Kasyaf Mulut

Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya ‘masin’ seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.


4) Kasyaf Akal

Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah SWT kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.


5) Kasyaf Hati

Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin . Itupun tidak banyak kerana Allah SWT kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang.


Nabi pernah bersabda, “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.

Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada kebaikan.

Pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah SWT ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan.
Allah SWT memberikannya kepada para wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75. maksudnya:

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang memperhatikan tanda-tanda."

Riwayat daripada Anas bin Malik : Satu hari Anas pergi bertemu Sayidina Usman tetapi sebelumnya beliau pergi ke pasar dan ternampak seorang wanita. Apabila Anas masuk bertemu Sayidina Usman lalu sayidina Usman berkata: “Salah sorang daripada kamu masuk bertemu ku tetapi di matanya terdapat kesan zina”. Lalu Anas berkata: Apakah masih ada wahyu selepas Baginda? Jawab Sayidina Usman: Tidak, tetapi ini adalah firasat dan petunjuk.

Berkata Ibn Abbas : Tidak ada seorang pun yang bertanya kepada aku kecuali aku mengetahui sama ada dia seorang faqih (berilmu) atau tidak.
Keramah yang Allah SWT kurniakan kepada Tok Kenali : Suatu hari Tok Kenali terdengar orang ramai riuh rendah bersorak di Kampung Pulau Bunut (Kelantan) kerana meraikan kemenangan dalam laga lembu. Beliau menegur situasi itu dengan menyatakan," gamaknya mereka bersorak menolong rumah terbakar.

Ditakdirkan Allah, malam itu unggun api yang dipasang pemilik lembu jantan yang menang dalam temasya itu untuk mengasapkan nyamuk, merebak memusnahkan rumahnya menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang. Peristiwa terbabit menyebabkan penduduk Kampung Pulau Bunut dan sekitarnya meninggalkan perbuatan berlaga lembu yang berdosa dan tiada perikemanusiaan itu.
Firasat hanya akan diperoleh oleh orang-orang beriman. Berkata Abu Syuja’ al-Karmani :

"Untuk mendapat firasat ini : Sesiapa yang menjaga matanya daripada yang haram, menjaga dirinya daripada mengikut syahwat, sentiasa menghidupkan batin dengan muraqabah kepada Allah dan tidak akan makan kecuali yang halal, maka firasatnya tidak akan tersilap."

Sahabat yang dikasihi,

Demikianlah huraian mengenai kasyaf yang di ambil daripada hadis Nabi SAW dan kisah sahabat dan para wali Allah menjadi panduan kita semua sekiranya akan berlaku perkara-perkara luar biasa dimasa akan datang. Kita janganlah mudah terpengaruh sekiranya seseorang mendakwa bahawa dia kasyaf sedangkan peribadinya bukan seorang yang berakhlak Islam dan ianya bertentangan pula dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kita hanya ambil dua sumber yang jelas iaitu al-Quran dan as-Sunnah , insya Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Ilham dan Kasyaf Dalam Islam
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?