Rabu, 16 Mei 2012

825 Hari Mengenal Khalifah Umar Abdul Aziz



Keturunan


Saidina Umar bin Abdul Aziz adalah seorang khalifah Islam daripada dinasti pemerintahan Khalifah Bani Umayyah.

Merujuk kepada salasilah, didapati keturunan beliau di sebelah bapa mempunyai kaitan dengan keturunan Rasulullah, iaitu menerusi Abd Manaf bin Qushai. Adapun di sebelah ibu mempunyai kaitan dengan Saidina Umar al-Khattab. Beliau merupakan cucu kepada Saidina Umar.

Pendidikan dan Keilmuan

Mendapat didikan agama sejak dari kecil lagi daripada datuk saudaranya iaitu Saidina Abdullah ibnu Umar al-Khattab, sahabat nabi yang merupakan ulama hadis.

Bapanya yang kemudian dilantik sebagai gabenor Mesir menghantar beliau mendalami ilmu agama di Madinah bersama para ulama di sana. Antara gurunya adalah Ubaidillah bin Abdillah bin Atabah.

Beliau adalah seorang mujtahid, yang boleh mengeluarkan hukum menerusi al-Quran dan as-Sunnah setara dengan imam-imam mazhab.

Pemerintah Yang Adil Dan Zuhud

Adapun Putera kepada Khalifah Abdul Aziz dan Laila Ummu Ashim ini juga seorang khalifah Islam yang warak lagi zuhud.

Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :

  1. Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran.
  2. Merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal.
  3. Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah.
  4. Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Pembangunan Jasmani dan Rohani Rakyat

Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjamaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa’ Ar-Rasyidin.

Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

825 Hari Mengenal Khalifah Umar

Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab, yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. 2 tahun 5 bulan adalah satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan.

Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat. Kebanyakan daripada rakyat sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.

Susuk tubuh pemimpin yang adil dan warak bernama Khalifah Umar Abdul Aziz ini wajar menjadi contoh kepada pemerintah zaman moden hari ini. Hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman.

Tempoh perkenalan yang terlalu singkat buat rakyatnya, yang disirami rahmat dan kasih sayang. Berkat dari seorang pemimpin yang sangat bertaqwa dan amanah dalam kepimpinan.

Satu rekod yang pastinya sukar diikuti oleh pemimpin yang lain, melainkan pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam pentadiran dan pemerintahan.

Wallahu a’lam.



Rujukan : Buku ‘Umar Abdul Aziz’ oleh Abdul Latip Talib

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

825 Hari Mengenal Khalifah Umar Abdul Aziz
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?