Khamis, 10 Mei 2012

Musibah Itu Anugerah

Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

"Tiada seorang mukmin yang ditimpa musibah, samada kepayahan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, kesakitan mahupun dukacita sehingga duri yang dipijaknya melainkan semua itu pasti akan menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya". (Riwayat Ahmad)


ULASAN HADIS :

1) Imam Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziah menyatakan bahawa; "Iman terbahagi kepada 2 bahagian, pertama Syukur di atas nikmat dan yang kedua sabar di atas musibah."

2) Ertinya, iman kita belum dikira sempurna melainkan setelah kita mampu mempersembahkan ketaatan dengan beribadah kepada Allah sebagai tanda syukur, juga setelah kita terbukti mampu bersabar di saat kita diuji dan ditimpa musibah. Apa yang dapat kita lihat, memang ramai di kalangan muslimin hari ini yang mampu beribadah dengan taat, solat berjemaah, bersedekah dan sebagainya namun bila Allah mengujinya dengan kemalangan, kematian orang yang tersayang, kegagalan, kejatuhan dan musibah, mereka gagal untuk kekal menjadi hamba-hamba Allah yang sepatutnya redha dan sabar berhadapan dengan ujian-ujian ini.

3) Inilah kegagalan yang patut kita sedari dan berwaspada terhadapnya. Jangan sampai kita merasa selamat dengan keupayaan kita melakukan ketaatan beribadat, selagi kita belum diuji dan mampu bersabar di atas ujian tersebut. Bukankah di antara rukun Iman yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis percakapan baginda s.a.w dengan Jibril A.S yang menyatakan, "Kamu perlu beriman kepada Ketentuan Takdir Allah; yang baik dan yang buruknya."

4) Sesungguhnya, musibah adalah sesuatu ketentuan hidup di dunia yang perlu dilayani dengan bersabar. Sabar pula adalah suatu anugerah terindah Allah buat kita sebagai hamba-hamba-Nya. Renungkanlah hakikat ini dan bertindaklah dengan bijak demi kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat. 



sumber : email takafulikhlas

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Musibah Itu Anugerah
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?