Isnin, 14 Mei 2012

Tafsir : Al-Isti'azah

AL-ISTI’AZAH bermaksud membaca a’uzu billahi minasyaitonir rajim...



Huraiannya

1. Aku berlindung dan bernaung di bawah keagungan Allah swt, dari segala bentuk kejahatan syaitan terlaknat dan tercela. Aku berlindung kepada Allah dari gangguan, hasutan dan penyesatan syaitan dalam urusan agama dan duniaku. Atau dari cubaanya menghalang aku dari melaksanakan suruhanMu (Ya Allah) atau sebaliknya mendorong aku melakukan laranganMu.

2. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mencegah dan menghalang syaitan kecuali Tuhan sekalian alam.

3. Perkataan syaitan adalah kata nama mufrad bagi kata majmuk syayathin. Ia dipanggil demikian kerana ia sangat jauh daripada kebenaran dan bersifat sangat degil. Manakala perkataan al-rajim bermaksud makhluk yang dijauhkan dari segala kebaikan, sangat hina, sangat terkutuk dan tercela.

4. Allah swt menyarankan agar manusia memohon perlindunganNya setiap kali mereka hendak membaca Quran iaitu menerusi firmanNya yang bermaksud:

”Dan apabila kamu (hendak) membaca Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada Syaitan yang direjam,” (an-Nahl, 16:18).

5. Jelasnya apabila anda mahu membaca Quran maka mintalah perlindungan Allah swt.

FirmanNya yang bermaksud :

”Hindarkanlah kejahatan mereka itu dengan cara yang lebih baik. Kami amat mengetahui apa yang mereka katakan tentang Kami dan katakanlah : wahai Tuhanku aku berlindung kepadaMu daripada bisikan (hasutan) para syaitan dan aku berlindung kepadaMu wahai Tuhanku daripada kehadiran (tipu daya) mereka,” (Mukminun, 22: 96-98).

6. Ini menunjukkan Quran menyarankan pendekatan membalas kejahatan dengan melakukan kebaikan untuk menangks cabaran syaitan berupa manusia, dan sebaliknya meminta perlindungan Allah atau beristi’azah kepadaNya untuk mengelakkan gangguan syaitan dari kalangan Jin.

7. Selaras dengan saranan itu, sebagai unjurannya disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri, sabda Nabi saw ”Sesungguhnya apabila Baginda saw bangun mengerjakan solat beliau membaca doa iftitah, kemudian Baginda berkata :

”Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, daripada gangguan, hasutan, dorongan dan tiupan sihir syaitan yang direjam,”

8. Kata Ibn al-Munzir : Menurut riwayat Ibn Mas’ud ra, Nabi saw membaca isti’azah sebelum membaca al-fatihah.

9. Jumhur ulamak bersependapat mengatakan lafaz al-ta’awuz ialah a’uzu billahi minasy syaitani rojim kerana ini termaktub dalam Quran.

10. Menurut pendapat Jumhur ulamak, membaca isTi’azah hukumnya sunat pada setiap kali membaca Quran kecuali dalam solat.

11. Walaubagaimanapun, para ulamak berselisih pendapat mengenai hukum membaca isti’azah semasa solat. Ulamak bermazhab Maliki berpendapat makruh membaca al-ta’awuz dan basmalah sebelum membaca fatihah dan surah kecuali ketika solat di bulan Ramadhan (solat terawih) berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas, ”Sesungguhnya Nabi saw, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca ‘al-hamdulillahi Rabbil Alamin,’

12. Ulamak Mazhab Hanafi pula berpendapat, al-ta’awuz itu hanya perlu dibaca pada rakaat pertama sahaja. Manakala ulamak mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan sunat membaca at-ta’awuz secara perlahan (sir) pada permulaan setiap rakaat sebelum membaca fatihah.

13. Para ulamak sepakat mengatakan bahawa al-ta’awuz atau isti’azah bukan sebahagian daripada Quran dan ia bukan ayat Quran.



Sumber : Tafsir Munir

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Tafsir : Al-Isti'azah
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?