Selasa, 14 Ogos 2012

Hari-Hari Terakhir Memburu Lailatul Qadar


1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan.

2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.

3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.

4) Dengan roh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan rohani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.

5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan roh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.

6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali roh memiliki kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya daripada pengaruh dan kekangan nafsu.

Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?

7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.

8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.

9) Dia berfirman saat Adam diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – (al Baqarah: 38) Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.

10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehnya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al-Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al-Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al-Quran dan al-hikmah.

11) Difardhukan ibadah solat lima waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.

12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian roh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.

13) Al-Quran turun di bulan Ramadan membantu roh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al-Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru, penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hamba-Nya yang beriman.

Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurga-Nya. Aamin.



sumber : Harakah Daily

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Hari-Hari Terakhir Memburu Lailatul Qadar
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?