Rabu, 7 September 2016

Wanita Hamil Mangsa Ketiga Zika di Malaysia



PUTRAJAYA: Seorang wanita hamil anak pertama dengan usia kandungan lebih empat bulan di Johor menjadi mangsa ketiga dijangkiti virus zika di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata wanita berusia 27 tahun yang menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru itu pada mulanya mengalami demam, ruam dan sakit badan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan di Johor.

Beliau berkata, laporan mendapati suami wanita itu bekerja di Singapura dan pihak hospital sudah menjalankan ujian sampel air kencing serta darah lelaki berkenaan bagi menentukan sama ada positif virus sama atau sebaliknya.


"Kita lakukan ujian ke atas suami wanita terbabit kerana mahu mengetahui punca virus berkenaan, sama ada ia dijangkiti melalui hubungan kelamin atau daripada gigitan nyamuk di negara ini.

"Buat masa ini, wanita berkenaan masih menerima rawatan dan akan dipantau pihak hospital," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementeriannya, di sini hari ini.

Dr Subramanian berkata, ujian pengesahan zika yang dilakukan semalam didapati positif bagi wanita terbabit, yang membuat lawatan terakhir ke Singapura kira-kira enam bulan lalu.

Suami wanita itu yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang, Singapura, menunjukkan tanda jangkitan mulai 2 September lalu dan kini dimasukkan ke wad untuk siasatan lanjut.

Pemantauan Kementerian Kesihatan sehingga kini menunjukkan tiga kes zika disahkan dalam negara iaitu kes pertama yang juga kes import dari Singapura, selain kes kedua dan ketiga yang disahkan kes jangkitan tempatan, masing-masing di Sabah dan Johor.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, dalam mesyuarat Kabinet semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Majlis Kebersihan Persekitaran.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Ahmad Zahid sendiri yang mana kita akan adakan perjumpaan dengan semua agensi bawah kerajaan bagi menyelaraskan segala kegiatan kawalan kebersihan persekitaran negara," katanya.

Sumber : BH Online

Hangat Dari Internet Raya:

Related Posts

Wanita Hamil Mangsa Ketiga Zika di Malaysia
4/ 5
Oleh

Apa komen anda?